Abdullah Husin

JOHOR BAHRU – Pas Johor berharap pertemuan antara parti itu dengan UMNO yang sepatutnya diadakan pada hari ini dijadualkan semula.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, penangguhan itu berkemungkinan disebabkan kesibukan masa Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Bagaimanapun kita akan menunggu tarikh baharu untuk pertemuan itu diadakan, harapnya dalam tempoh beberapa hari ini dan bukan terus dilupakan,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Karim Deraman.

Menurut Abdullah, pihaknya menghormati pendirian Hasni yang mahukan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor pada Sabtu lalu.

“Dia (Hasni) selaku pimpinan tertinggi UMNO negeri boleh membuat kenyataan itu, tetapi muktamad hanya boleh diputuskan oleh pimpinan tertinggi Pas dan juga UMNO.

“Ini kerana BN Johor dan UMNO Johor juga terikat dengan keputusan peringkat pusat, sama seperti Pas Johor, jadi soal kerjasama dalam PRN akan datang kita serahkan kepada mereka (pusat) tentukan.

“Tetapi kebiasaannya ketika ini masih ada ruang untuk kami menjalin kerjasama dalam PRN,” ujarnya. – MalaysiaGazette