Gambar tular geng konvoi Honda Civic FC yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan dan melepak dengan ahli-ahli konvoi yang lain.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuh Raya Temiang-Pantai tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah pihaknya mengesan gambar tular di Facebook itu.

Gambar berkenaan memaparkan sekumpulan individu dipercayai dari sebuah kelab kereta yang berkumpul di sepanjang lorong kecemasan untuk merakam gambar di Lebuh Raya Temiang-Pantai pada Sabtu lalu kira-kira pukul 6.30 petang.

“Polis sudah mengenal pasti 48 buah kenderaan yang berhenti di situ dan sebagai permulaan ketua kelab bersama admin Facebook kelab berkenaan akan dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain yang menggunakan laluan ini dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas.

Ujar Mohd fazley, kaedah itu menjelaskan tiada kenderaan daripada apa-apa kelas atau perihal yang ditentukan boleh dipandu, ditunda, ditolak, diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Selain itu, di bawah Kaedah 53(4) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas, bagi maksud Kaedah-Kaedah ini, ‘lorong kecemasan’ ertinya lorong tambahan atau bahu jalan di sebelah kiri jalan raya selorong, dua lorong, tiga lorong atau empat lorong di Jalan Persekutuan yang ditentukan sebagai lorong kecemasan. – MalaysiaGazette