selamat jalan Najib Razak Noor Amin Ahmad Adam Mukhriz Mohd Muhayeedin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mengakui kesilapan berkongsi hantaran berbaur fitnah terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung status di laman Facebook ‘Selamat Jalan’.

Katanya, kekhilafan itu didorong oleh rasa geram apabila melihat komen seumpama itu terhadap orang yang sedang sakit walaupun berbeza pandangan politik.

“Justeru itu saya meminta maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Noor Amin, semalam Najib telah meninggalkan komen di Facebook beliau untuk membuktikan status yang dikongsinya dari sumber asal pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Twitter adalah tidak benar.

“Saya ada meninggalkan komen membayangkan status tersebut ditulis oleh cytro yang menjaga akaun FB beliau kerana mustahil beliau sendiri akan tulis begitu.

“Setelah dibuktikan status tersebut tidak benar, saya akui kesilapan saya berkongsi cuplikan layar tersebut dan menurunkan cuplikan layar tersebut daripada perhatian umum,” katanya.

Katanya, beliau juga akan mendapatkan nasihat undang-undang terhadap mereka yang menggunakan gambar Facebooknya untuk mereka tulisan yang bukan daripadanya.

Terdahulu, Najib dalam hantaran di Facebook berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses saman fitnah terhadap Noor Amin dan Adam Mukhriz yang merupakan pembantu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Adam yang pertama berkongsi tangkap layar ‘Selamat Jalan’ kononnya dimuat naik oleh Najib menerusi status Facebook pada hari berita Dr Mahathir dirawat di CCU, Institut Jantung Negara tersebar.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, bukti di log aktiviti Facebooknya tidak pernah memuat naik status tersebut.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah sekiranya Noor Amin dan Adam enggan memohon maaf dan menarik balik tangkap layar yang dikongsi sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast