Sebahagian penonton yang menyaksikan perlawanan Africa Cup of Nations di Stadium Cameroon. foto Twitter

CAMEROON – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 50 orang cedera dalam rempuhan semasa perlawanan Piala Negara-Negara Afrika di sini.

Rempuhan itu berlaku ketika peminat bola sepak cuba memasuki Stadium Olembe di Yaounde untuk menonton perlawanan antara Cameroon dan Comoros.

Sementara itu, agensi berita AP melaporkan rakaman video menunjukkan peminat bola sepak bergelut untuk mendapatkan akses ke stadium Paul Biya .

Naseri Paul Biya, Gabenor wilayah tengah Cameroon tidak menolak angka korban mungkin meningkat.

Laporan lain mendakwa terdapat sebilangan kanak-kanak dilaporkan tidak sedarkan diri.

Stadium ini mempunyai kapasiti 60,000 tetapi kerana sekatan Covid-19, hanya 80 peratus sahaja dibenarkan masuk.

Sementara itu, CNN pula berkata, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), yang menganjurkan Piala Negara-Negara Afrika mengesahkan pihaknya menyedari kejadian itu.

“CAF kini sedang menyiasat keadaan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai insiden berkenaan.

”Kami sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa Cameroon dan jawatankuasa penganjur tempatan,” kata jurucakap CAF dalam satu kenyataan.

Kejadian tersebut berlaku sehari selepas satu lagi tragedi kebakaran di Cameroon yang mengorbankan 16 orang.

Dalam kejadian itu, lapan orang lagi cedera parah dan menerima rawatan rapi.

Pada sidang akhbar yang diadakan di tempat kejadian, pengarah Hospital Pusat Yaounde berkata, beberapa orang berada dalam keadaan kritikal. – Agensi