Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat sejumlah 162 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dilaporkan daripada 23 Januari sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenalpasti 89 kes baharu manakala Fakulti Perubatan Universiti Malaya mengenalpasti 71 kes baharu.

Beliau berkata, Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGI) mengenalpasti dua kes baharu.

“Kesemua kes ini merupakan varian Omicron. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang mempunyai kepentingan Varian (VOI) adalah sebanyak 7,056 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan, 7,036 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 6,188 kes varian Delta, 601 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi kes-kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta.

Ujarnya, dengan pengambilan vaksin dan dos penggalak, ia dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.

Katanya, dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi.

“Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita. Bagi yang belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti Covid-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“Nasihat KKM agar segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Bagi yang mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji itu demi melindungi diri anda dan orang tersayang,” tambahnya. – MalaysiaGazette