Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

IPOH – Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang besar Sungai Pinji, Kampung Sungai Rapat, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihak polis menerima laporan daripada orang awam pada 2.30 petang.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis menjalankan pencarian dalam longkang berkenaan dan menemukan mayat lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan punca kematian disebabkan lemas serta tiada sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222. – BERNAMA