Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) diingatkan supaya bekerja dengan jujur dan berintegriti berikutan hampir semua dasar negara tertumpu pada jabatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JPM perlu menunjukkan contoh baik kepada kementerian lain dan rakyat mengenai pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Katanya, kebanyakan dasar kerajaan yang diumumkan berada di bawah punca kuasa JPM termasuk berkaitan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022, agama, isu berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Seluruh mata rakyat tertumpu hampir keseluruhannya kepada JPM kerana perkara berkaitan dengan negara dan rakyat terutama isu dasar, adalah di bawah JPM.

“Saya harapkan sokongan dan kerja keras semua pihak di JPM dari pegawai, pemimpin dan kakitangan keseluruhannya,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri meminta agar warga JPM lebih giat dan agresif dalam mempromosi konsep Keluarga Malaysia yang telahpun dilancarkan sebelum ini.

Katanya, JPM bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan disebabkan ia harus lebih terkehadapan dalam mempromosikan konsep Keluarga Malaysia berbanding jabatan lain.

“Bagaimana kita hendak meminta kementerian lain menyokong konsep Keluarga Malaysia, sedangkan kita sebagai ‘tuan rumah’ tidak melakukan yang sebaiknya.

“Saya meminta tuan-tuan membantu mempromosikan Keluarga Malaysia dengan lebih giat dan agresif,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast