Antara barangan menggunakan logo halal tidak sah yang dirampas KPDNHEP Pulau Pinang dalam satu serbuan di Bukit Tengah semalam.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang membongkar kegiatan sebuah syarikat perniagaan menyalahgunakan logo halal pada barangan mereka dalam serbuan di Bukit Tengah di sini semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bertindak atas aduan tiga pegawai penguat kuasa menyerbu premis berkenaan pada pukul 11 pagi sebelum merampas pelbagai barangan yang bernilai RM54,402.90.

Antara barangan didapati menggunakan logo halal tanpa perakuan yang sah itu terdiri daripada minyak bijan, minyak biji sawi, air lemuju, air ros dan kapur.

“Kita dapati premis itu mengeluarkan barangan-barangan tersebut sebelum kita menyitanya untuk siasatan lanjut.

“Dalam serbuan itu, kita telah menyita 4,392 unit minyak bijan, 3,192 unit minyak biji sawi, 7,968 unit air ros, 2,580 unit air lemuju dan 5,916 unit kapur yang disyaki menggunakan penandaan logo halal tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Mohd Ridzuan berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman bagi bukan pertubuhan perbadanan, didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali

Jelasnya, bagi pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana peniaga supaya beretika serta tidak menggunakan penandaan halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menyalahgunakan logo halal tanpa kebenaran.

Orang ramai boleh menyalurkan atau membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat pihak yang menyalahgunakan penandaan logo halal melalui Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang di talian 04 384 0245. – MalaysiaGazette