KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung hantaran fitnah yang mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan tahap kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syahredzan merupakan individu kedua yang tampil mengakui kesilapan itu selepas permohonan maaf sama dilakukan oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Pengerusi Pusat Bandar Shah Alam itu mengakui beliau ada memberi komen balas pada hantaran Adam Mukhriz, pembantu Mahathir yang mendakwa Najib telah membuat hantaran ‘Selamat Jalan?’.

Hantaran itu dikaitkan dengan keadaan Mahathir dirawat di Unit Rawatan Koronari di Institut Jantung Negara pada Sabtu lalu.

“Saya mengulas mengenainya. Saya telah memadam komen tersebut dan memohon maaf kepada anda kerana menyangka hantaran itu betul,” katanya menerusi Twitter.

Najib sebelum itu mempersoalkan ‘Geng Atok’ yang melemparkan fitnah terhadapnya.

”Sejak bila saya buat posting begitu? Dari mana kamu dapat screenshot kononnya saya pernah post “Selamat jalan?”

”Takkan kamu tak tahu bahawa ianya adalah terlalu mudah untuk edit posting FB palsu?,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau telah arahkan peguam saya untuk mulakan proses saman fitnah terhadap Ahli Parlimen PH tersebut dan Syahredzan sekiranya mereka tak padam posting dan mohon maaf secara terbuka semalam,

Najib berkata, Adam Mukhriz ini akan disaman kerana Noor Amin mendakwa dia memetik posting yang diciap oleh pembantu Mahathir itu.

”Sukar untuk percaya bahawa pada masa Atuk sakit, dorang masih mampu mainkan fitnah sebegini hanya sebab nak politik?

”Dorang tuduh saya, saya nafi. Lalu dorang suruh saya tunjuk activity log FB saya untuk buktikan saya tak post “Selamat jalan?”, saya tunjukkan.

”Tapi dorang masih tak mahu minta maaf. Ada yang kata activity log boleh edit. Tak mahu percaya.
Pelik, activity log boleh edit tapi screenshot tak boleh edit ke?

”Sebab itu, saya saman kedua-dua supaya peguam saya boleh tunjukkan activity log original kepada mereka dalam mahkamah bagi memuaskan hati mereka. Sebarang pampasan yang diterima akan saya beri sebagai bantuan kepada rakyat,” tegas Najib. – MalaysiaGazette