Polis Langkawi menumpaskan sindiket lombong bitcoin pertama di daerah berkenaan hari ini.

LANGKAWI – Sindiket melombong mata wang kripto, bitcoin, pertama dikesan di Langkawi susulan polis menahan seorang lelaki di Taman Simfoni, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun pada jam 12.05 tengah malam itu membawa kepada penemuan premis melombong bitcoin pertama di daerah berkenaan.

Jelas beliau, berpandukan maklumat suspek, sepasukan polis serta kakitangan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu sebuah premis di Persiaran Putra sebelum menemui 180 mesin lombong mata wang kripto.

Antara mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan.

“Hasil siasatan mendapati premis kosong itu disewa untuk dijadikan tempat melombong bitcoin dan dipercayai suspek sudah beroperasi hampir lima bulan.

“Dalam serbuan itu, kita rampas pelbagai barang yang digunakan untuk melombong bitcoin antaranya modem wifi, penyambung internet, router serta 180 buah mesin bitcoin.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM90,000 dan ini merupakan tangkapan pertama membabitkan bitcoin di Langkawi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Premis kosong dijadikan lokasi lombong bitcoin.

Tambah Shariman, pemeriksaan lanjut TNB menemui bukti berlaku penyambungan elektrik secara haram dalam premis terbabit sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat utiliti negara itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette