Muhammad Sanusi Md Noor

ALOR SETAR – Aktiviti menyiram pokok durian Musang King dan Duri Hitam dengan menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam dipercayai antara punca berlakunya tekanan air rendah lebih serius di daerah Sik ketika ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri mengesan aktiviti itu berlaku di kawasan dusun yang terletak jauh dari sumber air seperti tali air kerana petani tiada pilihan ekoran musim kemarau di negeri ini.

“Lazimnya, kita simpan air untuk diguna sebelah pagi pada waktu malam, pada pukul 1 hingga 6 pagi waktu orang tidur, air akan berkumpul di dalam tangki.

“Kita jumpa satu trend, air menyusut pada waktu itu dan kita menyimpulkan ada aktiviti penyiraman serta simpan air di dusun untuk siram pokok durian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Sik.

Muhammad Sanusi berkata, penduduk akan terus menanggung gangguan bekalan air sepanjang masa akibat perbuatan itu.

“Air terawat kosnya tinggi, walaupun dia (petani) bayar bil itu tetapi menyebabkan sistem (bekalan air) kita mengalami penurunan tekanan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengharapkan pihak yang mengusahakan tanaman pokok durian mencari alternatif untuk menyiram pokok tanpa menggunakan bekalan air terawat untuk kegunaan penduduk.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini dua premis judi di Baling menamatkan operasi selepas kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen kedua-duanya.

Beliau berkata, lebih 50 premis judi di negeri ini akan menamatkan operasi secara berperingkat tahun ini apabila kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak memperbaharui lesen berkuat kuasa serta-merta pada November lepas. – Bernama

1 Komen

  1. Sungei banyak, hujan pun banyak sampai banjir,,,masih kata masalah air,,,hairan sungguh,,,,,,,,ini jawapan pemimpin nk kata cerdik sekolah tinggi, agama boleh tahan cuma,,,, i.q je slow,,,jwpan yg tak relevan,,,,,, pusatJudi tutup bagus le,tpi judi on Line bersepah dlm kocek je,,,,,, budak2 sekolah pandai main judi on line?,,,,tak selesai masalah juga,,masalah semua ni boleh selesai dgn Usha atas iman je,,,,,,

Comments are closed.