Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO Johor untuk bertanding secara solo sepatutnya tidak mencetuskan rasa tidak puas hati kepada Pas.

Ini kerana parti itu ‘tidak pandang’ UMNO pun selepas menyatakan pendirian untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, baik pemimpin atau akar umbi Pas tidak boleh mengeluarkan kenyataan seolah-olah parti itu ‘dimangsakan’ oleh UMNO.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau mempertahankan keputusan UMNO negeri untuk bertanding solo pada PRN Johor adalah demi kebaikan parti itu.

“Dulu UMNO dilihat macam terhegeh-hegeh, menginding-nginding mempertahankan Muafakat Nasional (MN). Tapi Pas beri macam-macam alasan, tak mengapalah.

“Disebabkan sikap berterusan Pas itu, UMNO Johor berpandangan lebih baik bertanding solo seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini bukan soal tamak kuasa ke apa tapi ini soal maruah. Dalam politik perlu ada pendirian yang teguh, pendirian tidak boleh goyah,” katanya.

Beliau percaya keputusan UMNO tidak akan dikecam rakyat bahkan penyokong Pas sendiri kerana selama ini mereka sendiri dapat melihat bagaimana Pas main tarik tali dengan UMNO yang berusaha memperkukuhkan MN tetapi Pas memilih untuk bersama pihak lain.

Lagi pun beliau berpandangan, tidak relevan Pas untuk bekerjasama dengan parti itu pada PRN Johor selepas mereka ‘meninggalkan’ UMNO semasa PRN Melaka walaupun ketika itu UMNO menawarkan Pas sebanyak lima kerusi.

“Tapi mereka pilih untuk tidak bersama UMNO, jadi tidak ada bezanya PRN Melaka dan PRN Johor,” tambahnya.

Nur Jazlan menambah, kerjasama dengan mana-mana parti menghadapi PRN Johor bukan keutamaan UMNO lagi kerana dalaman parti itu di peringkat negeri cukup mantap dan bersatu hati.

Disebabkan itu, fokus UMNO pada PRN kali ini mahu mendapatkan mandat rakyat bagi memulihkan semula Johor dari aspek pembangunan dan ekonomi khasnya demi memastikan kesejahteraan jangka panjang rakyat terjamin.

Selama empat tahun, sudah cukup lama Johor ‘buang masa’ dengan pelbagai karenah politik yang akhirnya tidak membawa apa-apa faedah pun kepada rakyat dan negeri, tegasnya. – MalaysiaGazette