Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua anggota polis Kontinjen Pulau Pinang berpangkat lans koperal dan koperal ditahan selepas didapati positif dadah.

Kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menurutnya, kedua-duanya berusia 31 dan 33 tahun itu didapati positif dadah selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard melakukan ujian saringan air kencing pada Selalu lalu.

Semakan rekod juga mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod membabitkan dadah.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seperti ditegaskan sebelum-sebelum ini saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota polis yang didapati terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah serta dadah.

“Selain itu, kita juga akn terus lakukan pemeriksaan ujian air kencing secara mengejut dan berkala ke atas warga polis sini bagi memastikan tiada dalam kalangan mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, seramai 334 individu ditahan menerusi Ops Tapis di negeri ini dalam tempoh tiga hari bermula 21 Januari lalu.

“Daripada jumlah tangkapan itu, dua remaja bawah umur antara suspek yang ditahan namun mereka sudah tidak bersekolah lagi.

“Secara keseluruhan mereka yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 61 tahun dan dalam serbuan sama kita merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14,208,” kata beliau. – MalaysiaGazette