Ramli menunjukkan kawasan pembuangan sampah ahram di Kampung Batu 7 1/2 Bukit Rambai, Melaka hari ini.

MELAKA – Bukan sehari dua namun hampir empat tahun terpaksa hidup ‘berjiran’ dengan tapak pelupusan sampah haram.

Ia  bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa bahkan mengundang risiko dijangkiti pelbagai penyakit.

Itu dilema  penduduk Kampung Batu 7 1/2 Bukit Rambai di sini mengenai kewujudan tapak pelupusan sampah di sebuah kolam terbiar kampung berkenaan yang didakwa semakin ‘merebak’.

Wakil penduduk, Ramli Mihat, 70, berkata, tapak berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya bermula secara kecil-kecilan sebelum ‘merebak’ apabila semakin banyak pelbagai sisa sampah dibuang sejak empat tahun lalu.

“Seingat saya sudah tiga ke empat tahun sampah daripada luar dilonggokkan di sini sehingga menimbulkan rasa tidak selesa penduduk.

“Nampaknya keadaan ini semakin berlarutan seperti tidak terkawal seolah-olah tiada langsung pemantauan daripada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, pelbagai jenis sisa sampah antaranya bekas makanan, perabot dan sisa plastik terpakai dibuang pihak yang mahu mengambil jalan mudah berbanding membuatnya ke pusat pelupusan sampah yang telah diwartakan.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, apa yang lebih membimbangkan, ada pihak yang turut melakukan pembakaran terbuka di kawasan tapak sampah haram itu.

“Jadi bayangkan apa nasib kami? Sudahlah sakit mata melihat sisa sampah terbuang belakang rumah terpaksa pula berdepan pencemaran asap kotor.

“Itu belum lagi sampah-sampah ini diselongkar anjing liar dan biawak yang boleh membawa pelbagai penyakit.

“Jadi tolonglah, PPSPA (Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) dan SWM (SWM Environment Sdn Bhd ) datang sini lihat sendiri keadaan yang tidak terkawal ini,” katanya.- MalaysiaGazette