Seorang kanak-kanak menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto-Getty Images

WASHINGTON – Jangkitan kes varian Omicron Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat secara mendadak di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Lebih 10 juta kanak-kanak di AS telah diuji positif Covid-19 sejak bermulanya wabak itu, menurut laporan terkini American Academy of Pediatrics (AAP) dan Persatuan Hospital Kanak-Kanak.

Setakat 20 Januari, sebanyak 10,603,034 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 mewakili 18.4 peratus daripada semua kes yang disahkan.

Menurut AAP, lebih 1.1 juta kes Covid-19 kanak-kanak dilaporkan pada minggu lalu, hampir lima kali ganda kadar puncak lonjakan musim sejuk lalu.

Dalam pada itu, jumlah ini adalah peningkatan 17 peratus berbanding 981,000 kes tambahan yang dilaporkan minggu sebelumnya dan penggandaan jumlah kes daripada dua minggu sebelumnya.

Berdasarkan laporan, kanak-kanak juga menyumbang 1.7 peratus hingga 4.4 peratus daripada jumlah kemasukan ke hospital dan 0 hingga 0.26 peratus daripada semua kematian Covid-19.

Ini kerana, hanya 20.3 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dan 55.4 peratus kanak-kanak berumur antara 12 hingga 17 tahun diberi vaksin sepenuhnya  menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Pengarah CDC Rochelle Walensky berkata, cara terbaik untuk memastikan kanak-kanak dilindungi adalah dengan memberi vaksin kepada mereka. – Xinhua (http://www.xinhuanet.com/english/20220126/f70c238618d442adbc9acdc03a7fafb5/c.html)