Khairussaleh Ramli . foto Bernama

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli melepaskan jawatannya berkuat kuasa 25 Mac ini, kata RHB Bank kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan perbankan itu sudah pun memulakan pelan peralihannya dan proses pemilihan sedang berjalan.

”Sementara itu, Mohd Rashid Mohamad merupakan pengarah urusan, perbankan borong kumpulan, telah dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab/pegawai utama kumpulan itu,” katanya.

Khairussaleh, 54, memegang jawatan itu sejak 2015.

Sebelum ini RHB Bank berkata, Khairusssaleh telah mengambil cuti berkuat kuasa 24 Januari lalu.

Dalam pada itu, spekulasi pasaran bertiup kencang bahawa Khairussaleh akan menggantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias, yang akan melepaskan tugasnya pada 1 Ogos ini.

Khairussaleh menyertai Kumpulan RHB sebagai Pengarah Urusan RHB Bank dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group pada pertengahan Disember 2013. – MalaysiaGazette