PDRM
Gambar hiasan

IPOH – Seorang lelaki yang baru mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung daripada peniaga kosmetik ditemukan meninggal dunia dalam bilik hotel di Teluk Intan semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berperwatakan lembut berusia 31 tahun itu datang ke hotel berkenaan bersama rakannya pada 9 pagi bagi mendapatkan suntikan daripada seorang wanita dari Melaka dengan kos sebanyak RM500.

“Si mati meminta izin untuk berehat di dalam bilik kerana merasa penat selepas selesai suntikan pada kira-kira pukul 12 tengah hari sambil ditemani rakannya manakala wanita itu keluar dari hotel untuk pulang ke Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata si mati kemudian disedari tidak bernafas ketika terbaring pada kira-kira 3 petang sebelum rakannya menghubungi wanita itu yang datang semula ke hotel dan mendapati lelaki itu sudah tidak bergerak.

Menurutnya pihak polis segera ke hotel terbabit sebaik dimaklumkan kejadian itu dan menemukan si mati terbaring di atas katil dengan memakai baju dan tuala serta bertutup dengan selimut.

Ahmad Adnan berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir bersama ambulans dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Katanya hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan paru-paru bengkak dan berair namun setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian akibat suntikan yang diambil si mati.

Beliau berkata tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR).

— BERNAMA