Hasil siasatan PKD, kejadian berpunca daripada ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan ketika di sekolah dan di luar waktu persekolahan. -Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejak sesi persekolahan bermula pada 9 dan 10 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan risiko penularan jangkitan itu terdedah ketika mereka berkumpul beramai-ramai.

Menurut beliau, status terkini kejadian kluster Covid-19 dalam sektor pendidikan dari 1 Januari sehingga semalam terdapat 107 kluster yang melibatkan 4,633 kes.

“Peningkatan ketara ini dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan tahun ini berbanding sesi persekolahan tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022 hanya terdapat tiga  kluster pendidikan direkodkan.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Namun, kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2, di mana 15 kluster telah direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ke-3.

Katanya, pada ME ke-4 sehingga semalam, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan.

Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu 56 kluster, diikuti kategori pendidikan lain 24.3 peratus, kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus) dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus).

Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula telah menerima dos penggalak.

Jelas Dr. Noor Hisham, majoriti kes dilaporkan hanya bergejala ringan iaitu kategori 1 dan 2) melibatkan 4,621 kes, manakala 12 kes lagi kategori 3 dan 4.

Kata beliau, semua 12 kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

Menurutnya, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian itu berpunca daripada ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan ketika di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

“Sebab lain, individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas, murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin, ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala.

“Malah, sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya.

Sehubungan itu, KKM telah menggariskan beberapa garis panduan saringan Covid-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

Sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10 peratus daripada kohort murid yang hadir ke sekolah setiap minggu.

Pengujian perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD bagi tujuan untuk mengesan awal kes Covid-19 dalam kalangan murid. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes positif Covid-19 makin naik