KUALA LUMPUR – Permohonan BSN MyRinggit-i Banjir dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Januari 2022.

Pembiayaan ini telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan setakat 25 Januari 2022, BSN telah meluluskan sebanyak 22,887 permohonan berjumlah lebih RM221 juta.

Mereka yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui laman web BSN, www.bsn.com.my dan mengemukakan dokumen salinan kad pengenalan, bil elektrik rumah yang terjejas dan surat Surat pengesahan daripada Pegawai Daerah/JKKK/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas/

Bank Simpanan Nasional berkata, permohonan yang telah diterima sebelum 31 Januari 2022 (dengan maklumat yang sahih, dokumen yang lengkap, serta menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan), akan diproses bagi meringankan beban kewangan mereka.

Walau bagaimanapun, para pelanggan BSN masih boleh mendapatkan bantuan lain yang ditawarkan seperti penangguhan ansuran bulanan pembiayaan termasuk kemudahan pembiayaan/pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pembiayaan/pinjaman kepada perusahaan mikro yang terkesan akibat banjir. – MalaysiaGazette