Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi empat individu termasuk pasangan suami isteri di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi empat individu termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Serbuan selama dua hari bermula 20 Januari itu turut melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah dan sitaan barang bernilai RM3.3 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keempat-empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 43  itu didapati terlibat dalam pengedaran dadah jenis syabu, ketamin serta eramin 5 bagi pasaran tempatan.

Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, hasil siasatan juga mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun lalu.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemilik bengkel besi di Bukit Minyak, Bukit Mertajam dan pemeriksaan membawa kepada penemuan  tiga bungkusan teh Cina berisi syabu seberat 3.1 kilogram (kg) bernilai RM113,832.

“Berpandukan maklumat suspek, kita menyerbu rumahnya dan di sana kita menahan isterinya berusia 30 tahun selain merampas 20 bungkusan teh Cina disyaki syabu seberat 20.8 kg bernilai RM748,800.

“Turut dirampas dalam serbuan sama, dua bungkus plastik mengandungi 49 paket plastik lutsinar mengandungi 1.2kg  ketamin bernilai RM70,895 serta 58,750 biji eramin 5 bernilai RM881,250,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Shuhaily menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya.

Menurut Mohd Shuhaily, susulan serbuan itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai ahli sindiket di sekitar Butterworth.

“Pemeriksaan terhadap salah seorang tangkapan itu, kita merampas empat paket plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki ketamin seberat 3.2kg bernilai RM178,750.

“Kedua-dua lelaki tersebut bekerja sebagai pembantu kedai makan dan keseluruhan nilai rampasan dadah membabitkan sindiket ini bernilai RM1.99 juta.

“Kesemua dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 187,638 penagih jika ia terlepas ke pasaran,” kata Mohd Shuhaily.

Tambah beliau, dalam serbuan sama, polis turut menyita lapan kenderaan pelbagai jenis, barang kemas, wang tunai dan wang dalam akaun dengan jumlah keseluruhan RM1.31 juta.

Antara kenderaan yang dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM3.3 juta dan kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegas Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette