KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meminta pengguna jalan raya menggunakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan ketika merancang perjalanan mereka sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 28 Januari hingga 6 Februari ini.

Ia berikutan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta buah kenderaan sepanjang perayaan itu.

Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

Untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuhraya selepas jam 1 tengahari.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terkumpul di satu-satu lokasi di lebuhraya secara serentak.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R. – MalaysiaGazette