Vaksinasi dos penggalak secara walk-in di empat PPV Integrasi Lembah Klang bermula esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in kepada semua penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas mulai esok.

Tawaran itu sebagai usaha KKM meningkatkan kadar pengambilan dos penggalak dan memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan Covid-19 termasuk ancaman varian Omicron.

KKM menerusi kenyataan hari ini memberitahu, vaksinasi secara walk-in itu dibuka di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang bermula 27 Januari ini.

PPV itu ialah di World Trade Centre, Kuala Lumpur (WTC); Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkai, Klang.

“Vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah AstraZeneca.

“Vaksin Pfizer juga dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temu janji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

“Individu yang hendak hadir secara walk-in perlu memastikan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kata KKM, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Dos Penggalak (PICKBooster) telah bermula pada 13 Oktober tahun lalu sebagai langkah mengawal pandemik Covid-19.

Bermula 15 Januari lalu, empat PPV Integrasi telah dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang.

Sehingga 25 Januari lalu, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Liputan vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang juga amat menggalakkan dengan 68.2 peratus penduduk dewasa telahpun menerimanya, mengikuti rapat negeri Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi sebanyak 69.5 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast