PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap seorang pekerja pengurusan sebuah kondominium yang dilaporkan telah menghilangkan diri sejak tahun 2020 selepas melakukan jenayah pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM500,000 milik majikannya.

Operasi mengesan suspek,  seorang perempuan warga tempatan sedang dijalankan.

Semalam, pengurusan kondominium itu berkata, pekerjanya yang berusia 64 tahun itu hilang selepas memaklumkan perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

Laporan polis dibuat selepas dia gagal dihubungi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek menghilangkan diri bersama wang terbabit sejak September 2020.

Suspek didakwa telah mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk yang berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat sejak bulan Julai 2016 sehingga September 2020, katanya dalam kenyataan,

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis sedang mendapatkan jumlah kerugian sebenar yang dialami perbadanan kondominium itu untuk membantu siasatan polis.

Polis telah memanggil beberapa saksi berkaitan kes ini bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette