MELAKA – Polis Melaka menjangkakan lebih 120,000 kenderaan akan memasuki negeri itu selama tiga hari sempena cuti umum sambutan Tahun Baru Cina bermula Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, susulan itu, pihaknya telah mewujudkan pasukan pemantau untuk memastikan masalah kesesakan dapat diatasi segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Jadi apabila berlakunya kesesakan, penguraian trafik daripada 120,000 kenderaan yang dijangka memasuki Melaka dalam tempoh tiga hari ini dapat dilakukan segera.

“Matlamat kita adalah supaya usaha melalui Op Selamat 17 ini dapat mengurangkan kes kematian akibat kemalangan jalan raya yang mencatatkan penurunan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Datuk Abdul Majid Mohd Ali

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari sehingga 6 Februari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) Op Selamat 17 turut melibatkan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, PDRM menempatkan 14 pegawai dan 170 anggota di semua 12 lokasi panas yang dikesan kerap berlaku kemalangan.

“Sebanyak 12 hotspot terbabit adalah lima dalam daerah Melaka Tengah, Jasin (3) dan empat di Alor Gajah.

“Selain itu, kita turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan pengunjung terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiagazette