Azmi Tahir Jho Low Taek Jho Former Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for his money-laundering trial involving 1Malaysia Development Berhad (1MDB) funds. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 JANUARY 2022
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir menafikan dirinya pernah menerima rasuah daripada bekas Pengarah Goldman Sachs, Tim Leissner.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB  berkata demikian ketika sesi soal balas dengan pasukan pembelaan Najib berhubung firma pelaburan Amerika Syarikat (AS) berkenaan.

Malah Azmi mendakwa hanya mengetahui tentang Leissner pernah merasuah beberapa pegawai 1MDB melalui laporan media dan beliau tidak terbabit.

Peguambela, Tania Scivetti bertanya adakah beliau mengetahui tentang siapa yang telah menerima rasuah dari Leissner.

“Saya tidak tahu tentang siapa pegawai-pegawai ini tetapi saya tidak terlibat dan tidak tahu tentangnya,” kata Azmi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Azmi juga tidak bersetuju apabila peguambela bertanya adakah beliau ‘terlepas’ daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana tampil memberikan keterangan terhadap Najib.

Jawapan itu juga sama seperti saksi-saksi yang lain sebelum ini yang bersetuju menjadi saksi pendakwaan dalam kes ini.

Sebelum ini,  pada 7 Mei 2021, 1MDB dan subsidarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, memfailkan saman terhadap Azmi, Najib dan bekas Pengarah 1MDB, antaranya Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Selain itu, defendan lain seperti Mohd Hazem, Shahrol Azral, Azmi Radhi Mohamad dan bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin serta Nik Faisal Ariff Kamil.

Saman tersebut mendakwa semua pihak-pihak ini telah menipu dua entiti milik kerajaan.

Namun selepas beberapa bulan, beberapa nama telah dikeluarkan dari saman sivil itu termasuklah Azmi, Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Valiram, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

Dalam pada itu, pasukan pembelaan hari ini cuba menangguhkan perbicaraan lebih awal hari ini namun Collin bertegas untuk sesi soal balas diteruskan sehingga petang tadi.

Prosiding ditangguh sehingga 14 Mac depan.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi.- MalaysiaGazette