Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Pelandok, Port Dickson, semalam.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, minyak masak peket tersebut dipercayai digunakan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain kerana harganya lebih murah berbanding minyak masak industri.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya bertindak menyerbu premis berkenaan kira-kira 12.05 tengah hari dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis itu bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 159 kotak mengandungi minyak masak peket 1kg dengan jumlah keseluruhan 2,703kg minyak masak berada di dalam premis berkenaan. Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan RM6,757.50 telah disita,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ain Arjuna berkata, suspek yang telah menjalankan kegiatan itu sejak setahun di lokasi sama melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengenai pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak peket 1kg itu.

“Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang didapati menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual antaranya menerusi Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my atau talian WhatsApp di 019-2794317,” katanya. – Bernama