Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar kenangan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua kiri) serta yang lain pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mempercepatkan pencapaian agenda kelestarian negara.

Yayasan MySDG yang ditubuhkan pula akan mengawal selia Dana Amanah MySDG.

Penubuhan kedua-dua Yayasan dan Dana Amanah ini adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia.

Kerjasama tersebut merupakan sebuah model inovatif untuk menyokong pencapaian pembangunan mampan selaras dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030, kata MoF dan PBB di Malaysia.

Agenda tersebut menggariskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli PBB pada Persidangan Kemuncak Pembangunan Mampan 2015.

Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan ke arah usaha memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan, dengan mengintegrasikan prinsip tersebut di dalam pelan dan polisi pembangunan Malaysia.

Dana Amanah MySDG ini juga merupakan satu mekanisme kewangan yang membolehkan pelbagai pihak – termasuk Kerajaan, sektor swasta, badan-badan korporat, agensi-agensi dari dalam dan luar negara, serta individu untuk turut bekerjasama bagi mencapai matlamat SDG, selaras dengan semangat bersepadu dan pendekatan senegara Keluarga Malaysia.

Dana yang dikumpul akan disalurkan secara sistematik dan berintegrasi untuk membiayai dan saling menyokong program dan projek kerajaan yang berorientasikan SDG di seluruh negara termasuk pembiayaan bagi projek-projek dan penyelesaian inovatif oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), agensi-agensi PBB dan organisasi pembangunan.

Kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan PBB yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam pelaksanaan inisiatif ini akan dapat melipat gandakan usaha pembangunan mampan di Malaysia.

Dana amanah ini akan ditadbir bersama oleh MOF dan Pejabat PBB di Malaysia dan akan diselia oleh Lembaga Pemegang Amanah yang ahlinya dilantik dalam kalangan pakar industri, dermawan dan pegawai tinggi kerajaan.

Dalam jangka masa terdekat, Yayasan MySDG akan menumpukan kepada pembiayaan program untuk membina semula secara terbaik susulan kesan pandemik Covid-19, serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.

Skop program dan projek di bawah dana ini akan diperluaskan untuk projek-projek berteraskan SDG yang lain.

Objektif kesemua usaha ini akan dapat membantu usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi dan melestarikan kesejahteraan rakyat.

Sebaik sahaja mekanisme sumbangan dimuktamadkan oleh Yayasan MySDG, pihak-pihak dari dalam dan luar negara boleh mula menyumbang ke dalam Dana Amanah MySDG.

Semua sumbangan akan mendapat pengecualian cukai sepenuhnya, tertakluk kepada had 10% kepada pendapatan agregat penyumbang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Yayasan di https://www.mof.gov.my/portal/ms/mysdg. – MalaysiaGazette