Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu saman sivil dikenakan ke atas Ambank Islamic Bhd. dan dua pihak didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Tiga panel Hakim yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan memerintahkan beliau membayar kos RM40,000 kepada AmBank Islamic serta AMMB Holdings Bhd.

Najib juga telah diperintahkan membayar kos sebanyak RM35,000 kepada bekas pengurus perhubungan pelanggan, Joanna Yu Ging Ping yang merupakan responden dalam rayuan itu.

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

Ketika membaca keputusan itu, kata Yaacob, pihaknya berpendapat Ahli Parlimen Pekan itu cuba meneruskan saman sivil bagi menjejaskan prosiding Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Jelas beliau, saman yang difailkan Najib terhadap Ambank Islamic dan Joanna Yu tidak bertujuan untuk menuntut ganti rugi tetapi hanya bersifat serangan kolateral (tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan dalam kes lain).

“Adalah sesuatu yang tidak wajar isu sama diadili oleh mahkamah sivil dan mahkamah jenayah.

“Perlu diambil perhatian bahawa perayu didapati bersalah atas pertuduhan jenayah tersebut oleh Mahkamah Tinggi dan selepas rayuan oleh perayu, dapatan dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya dalam prosiding atas talian hari ini.

Turut bersidang, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi.

Pada Julai 2020, Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap bank itu dan Joanna.

Dakwa Najib, kesemua responden telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Joanna Yu merupakan salah seorang saksi penting pendakwaan dalam perbicaraan yang dihadapi Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana SRC.

Dalam pada itu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Mohamad memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette