Datuk Dr Noor Azmi Ghazali Omicron Covid-19 variant VOC
Dr. Noor Azmi Ghazali

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin jenis Pfizer kepada kanak-kanak akan dilaksanakan di Lembah Klang sebagai permulaan termasuk melalui hospital bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan.

Manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya, pemberian vaksin itu kelak akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) off site, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).

“KKM (Kementerian Kesihatan) juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr. Noor Azmi menegaskan, pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan malah disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari 2022.

Dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut dan pengambilannya digalakkan bagi memastikan kesihatan golongan itu terpelihara.

Bag tujuan itu, Dr. Noor Azmi memaklumkan, Sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan temu janji.

Jelasnya, sehingga hari ini, seramai 484,639 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.

Melalui kaedah itu, kata beliau, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi sertamasa vaksinasi yang sesuai untuk anak masing-masing.

“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan temu janji untuk anak-anak mereka.

“Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, sistem itu akan dimuat naik di aplikasi Playstore hari ini dan boleh diakses dalam masa terdekat.

Katanya, ibu bapa atau penjaga perlu mengemaskini aplikasi MySejahtera dan mendaftar anak-anak mereka sebagai tanggungan serta bagi yang tinggal di Lembah Klang akan menerima pautan untuk membuat tempahan temu janji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast