Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan itu lebih bersiap siaga dalam menghadapi bencana banjir khususnya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina pada awal bulan depan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, masyarakat Tionghua khususnya tidak perlu risau ketika pulang ke kampung untuk menyambut perayaan itu.

Katanya, pihak polis akan memantau dari semasa ke semasa semua kejiranan keadaan semasa sama ada bencana alam mahupun perlakuan jenayah sepanjang mereka meninggalkan tempat tinggal masing-masing.

“Bencana banjir ini adalah bergantung kepada keadaan cuaca. Kita di peringkat negeri dan daerah memang ada jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan bencana.

“Kita akan memantau dari segi perkembangan cuaca, dari sana kita boleh ambil tindakan awal. Saya kira orang awam dan masyarakat mengambil kira keadaan cuaca macam mana.

“Kita berharap pihak masyarakat pun sama-sama dengan kita berwaspada dalam kita menghadapi bencana banjir nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2022.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 Peringkat Daerah Shah Alam, Plaza Tol Kemuning, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol dan Ketua Pegawai Operasi Kesas Sdn.Bhd, Mohamed Shah Samin.

Selain, orang ramai dinasihatkan untuk mengisi borang balik kampung sebelum mereka meninggalkan kediaman mereka dalam tempoh lama bagi memudahkan pihaknya membendung jenayah pecah rumah khususnya sepanjang musim perayaan.

“Kita telah laksanakan borang balik kampung, sebelum mereka keluar ke mana-mana, sama ada balik kampung menyambut Tahun Baharu Cina atau keluar rumah bercuti.

“Gunakanlah borang balik kampung itu untuk mengisi dan memaklumkan kepada kepada pihak polis ke mana destinasi pergerakan mereka.

“Kita akan membuat rondaan, kita akan menggunakan elemen-elemen MPV, URV dan balai-balai untuk cegah jenayah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette