Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Program Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menempatkan set busana tradisional Malaysia di 10 pejabat kedutaan dan pesuruhjaya tinggi Malaysia dalam usaha mempromosikan budaya Malaysia di luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi inisiatif Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara itu, ia merupakan program kerjasama dengan Kementerian Luar yang bertujuan bagi mempromosikan budaya Malaysia.

Beliau berkata, lima set busana tradisional etnik utama iaitu Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak akan dipamerkan antaranya di Paris, London, Berlin, Washing Tokyo dan Beijing termasuk Pusat Kebudayaan ASEAN di Bangkok.

“Besar harapan MOTAC agar program diplomasi budaya ini akan meningkatkan penghayatan dan peranan duta-duta Malaysia di luar negara bagi mempromosikan seni serta budaya negara.

“MOTAC selaku peneraju diplomasi budaya akan sentiasa mengorak langkah memperkenal dan memartabatkan seni, budaya dan warisan Malaysia dengan mengukuhkan kolaborasi budaya dengan negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Program Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Nancy menambah, Program Diplomasi Budaya yang merupakan kerjasama strategik Persatuan Solidariti Seni Budaya & Warisan Malaysia serta Kementerian Luar Negeri adalah aspirasi Keluarga Malaysia yang berteraskan tiga konsep utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Jelas beliau, dalam konteks negara, Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa serta mewarisi kepelbagaian adat berbeza resam,

Meskipun kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘ keterangkuman (inclusivity) dalam perbezaan, dan menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Adalah menjadi harapan MOTAC agar program Diplomasi Budaya ini akan meningkatkan lagi penghayatan dan peranan duta-duta Malaysia di luar negara dalam mempromosikan seni dan budaya negara serta mengukuhkan kolaborasi budaya dengan pertubuhan pertubuhan kebudayaan antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette