Mohammed Azman menyampaikan sumbangan berupa angpow dan hamper kepada ibu tunggal dan anak yatim.-Foto PERKESO.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berusaha melindungi mereka yang bekerja sendiri, pekerja asing, pekerja domestik dan tidak lama lagi golongan suri rumah pula.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, golongan itu bakal mendapat perlindungan sosial daripada pihaknya yang merupakan salah satu agensi Kementerian Sumber Manusia.

“Perluasan ini juga bermakna lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati jaringan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2022 di sini hari ini.

Pada majlis yang sama pihaknya hari ini meraikan seramai 100 penerima faedah PERKESO.

Ia salah satu  tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya melibatkan penerima faedah PERKESO seramai 40 orang ibu tunggal dan 60 orang anak yatim sekitar ibu negara.

Program sempena ketibaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada  Februari ini diadakan sebagai salah satu daripada usaha bagi mengeratkan hubungan antara PERKESO dan penerima faedahnya.

Penyerahan sumbangan berupa angpau dan hamper telah disempurnakan oleh Mohammed Azman.

Hadir sama meraikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, John Riba Marin, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain dan Ketua Bahagian Pengurusan Korporat PERKESO, Mohd Shahar Ismail.

Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PERKESO 2022  diadakan sebagai salah satu daripada inisiatif agensi itu menyantuni penerima faedahnya di samping dapat memperkukuh hubungan antara pihaksyarikat dan pemegang taruhnya.

Pelaksanaan inisiatif murni itu juga menzahirkan keprihatinan PERKESO terhadap rakyat Malaysia khususnya buat mereka yang memerlukan bantuan semasa ketibaan musim perayaan ini.

“Sebagai sebuah organisasi yang prihatin dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pencarum serta orang tanggungannya, kami berharap penganjuran majlis ini dapat membantu meringankan kos perbelanjaan dan persiapan dalam menyambut perayaan penting ini,” kata Mohammed Azman.- MalaysiaGazette