Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis memeriksa hos pemadam kebakaran ketika menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Raya Besar AEON Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPS) menempatkan dua pasukan di laluan utama orang ramai menggunakan lebuh raya sepanjang cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, dua pasukan itu masing-masing ditempatkan di Tol Rawang dan Tol Mahkota yang bertindak dalam keadaan bersiap sedia membantu sekiranya berlaku kejadian melibatkan kemalangan.

Menurut beliau, penempatan pasukan itu untuk tempoh satu minggu sebelum dan selepas perayaan dengan pihaknya turut memantau serta menumpukan beberapa laluan utama.

“Kita sentiasa merancang dan memastikan perjalanan orang ramai ketika cuti Tahun Baru Cina ini berjalan lancar.

“Tindakan anggota kita ini ialah berkawal 24 jam sehari sehingga seminggu selepas Tahun Baru Cina untuk membantu dan bertindak atas apa-apa juga kes berkaitan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina di AEON Mall Shah Alam, di sini, hari ini.

Ditanya jumlah pusat beli belah dan premis hotel yang periksa JBPS, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 93 telah diperiksa di seluruh negeri.

Kata Norazam, daripada jumlah itu, 21 notis telah dikeluarkan dengan meminta pemilik premis berkenaan mematuhi aspek keselamatan ditetapkan jabatan itu.

“Notis yang dikeluarkan adalah untuk kesalahan ringan seperti menghalang laluan untuk pelepasan diri jika berlaku kecemasan.

“Kesalahan lain ialah sistem kecemasan tidak aktif yang perlu diperbetulkan seperti lampu kecemasan dan penggera kebakaran. Kita minta mereka perbetulkan supaya ciri-ciri keselamatan berada dalam keadaan baik.

Kata beliau, tumpuan pemeriksaan itu dilakukan di premis perniagaan dan hotel yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul atau membeli belah pada musim perayaan.

Mengenai gerak kerja musim banjir atau jika berlaku bencana alam, Norazam berkata, sejak kejadian itu pertengahan Disember lalu, JBPS sehingga kini masih dalam keadaan berjaga jaga.

Malah, katanya, cuti juga masih dibekukan lagi bagi memastikan setiap anggotanya berada dalam tahap kesiapsiagaan.

“Kita tak akan tunggu panggilan dari orang ramai, apabila hujan atau ribut, dengan sendirinya kita akan buat rondaan di kawasan mudah dilanda banjir atau banjir kilat.

“Di Shah Alam ini, kita telah mengenal pasti beberapa kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau dilanda ribut seperti di Seksyen 13 dan Taman Seri Muda.

“Selain itu, kawasan yang menjadi tumpuan kita ialah daerah Petaling, Subang Jaya, Puchong, Sepang, Kuala Selangor dan Rawang,” katanya. – MalaysiaGazette