Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kluster akibat wabak Covid-19 sejak melanda negara ini Januari 2020 dilaporkan sebanyak 6,394 kluster dengan 23 kluster baharu direkodkan hari ini.

Daripada jumlah itu, 6,105 kluster dikategori sebagai telah tamat manakala 289 kluster lagi masih aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif hari ini juga masih naik iaitu 5,522 kes menjadikan 2,855,930 kes kumulatif.

Katanya, sebanyak 373 kes import dilaporkan melibatkan 259 warganegara dan 114 kes bukan warganegara.

Mengenai situasi terkini mutasi Spike Protein Covid-19 di Malaysia, beliau menjelaskan, sebanyak 62 kes baharu Variant of Concern (VOC) telah dilaporkan daripada 25 Januari lalu hingga semalam.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah 7,118 kes, dengan 7,098 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 6,250 kes varian Delta, 601 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha, manakala bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung nasihat kesihatan berkaitan Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, bagi yang belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti, mereka kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan.

Beliau menyeru rakyat Malaysia agar mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian. – MalaysiaGazette