Najib Razak

KUALA LUMPUR – Hari ini secara rasminya hutang langsung kerajaan telah mencecah RM1 trilion, dakwa Datuk Seri Najib Razak.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, hutang negara naik RM316 bilion atau 46 peratus daripada RM686.8 bilion pada tahun 2017 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14) kepada RM1,002.9 bilion.

“Visi mereka untuk hutang negara benar-benar mencecah RM1 trilion telah berjaya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau secara bersinis mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Malaysia pada Mei 2018 dengan melantik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan sebagai Menteri Kewangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri).

Najib menjelaskan, hakikatnya ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018, pertumbuhan ekonomi adalah laju dan defisit kerajaan telah turun lapan tahun berturut-turut sebelum ianya dinaikkan dengan laju selepas PRU14.

“(Selepas Pru14) GST dimansuh, Petronas dijarah, aset-aset negara yang memberi pulangan yang baik pula dijual secara lambak oleh mereka. Ekonomi (semakin) lembab.

“Akibatnya, kadar kenaikan hutang kerajaan sangat pantas berbanding masa saya PM – iaitu tempoh PH asyik tuduh negara akan bankrap bawah saya.

“Ada sesiapa dari geng sebelah sana nak sangkal pengiraan saya hari ini tak?,” sindirnya.

Menurut Najib, hutang langsung kerajaan itu adalah cara seluruh dunia mengiranya bagi sesebuah negara.

Katanya, kiraannya itu bukan secara dongeng yang diperkenalkan oleh kerajaan PH untuk menipu rakyat bahawa hutang Malaysia sudah mencecah RM1 trilion ketika beliau Perdana Menteri. – MalaysiaGazette