KUANG – Isu video tular mandi ala jenazah membabitkan seorang remaja, Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang berakhir apabila mereka saling bermaafan pada pertemuan secara tertutup di sini petang tadi.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pertemuan yang dikendalikan pihaknya itu berlangsung dalam suasana mesra dan ukhuwah dan mencapai beberapa kesepakatan.
Menurut beliau, kedua-dua pihak kini akan memandang ke hadapan dan tidak akan lagi mengungkit apa yang berlaku sebelum ini.
“Perbincangan ini berlangsung penuh ukhuwah dan mesra dan semua pihak telah mencapai kata sepakat.
“Kedua-dua pihak saling bermaafan antara satu sama lain dan berjanji tidak akan mengungkit lagi isu itu.
“Pertemuan ini adalah jambatan antara pihak masjid dan Daniel Iskandar serta semoga menjadi teladan kepada institusi Islam lain untuk menjunjung semangat ukhuwah dalam mencari perdamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian sidang media selepas pertemuan tertutup antara Daniel Iskandar dan keluarganya bersama AJK masjid di Masjid Al Islahiah di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Mufti Selangor, Prof. Madya Dr. Miszairi Sitiris dan Ketua Kampung Damai Kuang, Abdul Ghani Abdullah yang mewakili pihak AJK masjid.
Namun Daniel Iskandar dan AJK masjid tidak muncul pada sidang media itu.
Zainul Rijal menambah, hasil rundingan juga mengambil keputusan tiada tindakan akan diambil kepada penyebar video itu kerana ia telah diselesaikan secara baik.
“Pertemuan ini juga bagi melaksanakan saranan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu ini,” katanya.
Sementara itu, peguam Daniel Iskandar, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, remaja itu telah memaafkan semua yang terlibat dalam video yang tular itu.
“Rakyat Malaysia ada hak menahan dan menangkap seseorang tapi perlu diserahkan kepada pihak polis dan bukan ambil tindakan sendiri,” katanya.
Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadap Daniel Iskandar yang mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid itu di Kuang, Rawang pada 9 Januari lalu.
Sebaliknya, tertuduh diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh 120 jam selama enam bulan.
Tertuduh perlu menumpukan kepada khidmat masyarakat di masjid-masjid sahaja.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman dalam semakan kehakiman berkata, perintah itu dibuat selepas meneliti hujah yang disampaikan pihak pendakwaan dan pembelaan serta surat cara serta nota catatan serta keterangan oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Kes Daniel Iskandar mendapat liputan meluas apabila videonya dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid pada 9 Januari tular.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang tidak bekerja didakwa telah cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah Kilometer 28, Kuang, Rawang pada pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Januari lalu dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama lima bulan. – MalaysiaGazette