Keadaan sebuah rumah yang rosak selepas dibadai ribut kuat petang semalam di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, Shah Alam.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri dan persekutuan diminta supaya meningkatkan kemudahan pengurusan bencana bersama pembangunan infrastruktur di kawasan Batu Tiga di sini, sebagai persediaan menghadapi musibah ribut atau banjir.

Menurut Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiga, Syafiq Ali, sistem perparitan dan saliran di kawasan berkenaan perlu dinaik taraf bagi mengurangkan risiko ketika bencana.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 3, Syafiq Ali. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

“MPKK dan penduduk kampung berharap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat membantu meningkatkan kemudahan pengurusan bencana kerana ia merupakan elemen penting untuk kesiapsiagaan.

“Yang kedua, kita turut mengharapkan pembangunan infastruktur seperti parit dan saliran sebagai persediaan bencana akan datang selain menyediakan kelengkapan siren dan pembesar suara di kawasan terbabit.

“Alatan atau kelengkapan ini penting dalam berdepan dengan banjir atau ribut selain dapat mengurangkan risiko penduduk yang menetap di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Kebun Bunga, di sini, hari ini.

Jelas beliau, terdapat keseluruhan enam kampung di kawasan Batu Tiga dan Kampung Kebun Bunga yang dilanda ribut kuat petang semalam merupakan salah satu daripadanya.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.15 petang itu merupakan musibah kedua buat penduduk kampung berkenaan selepas dilanda banjir buruk pada 18 Disember lalu yang menenggelamkan hampir seluruh rumah.

Tambahnya, masih ada sebilangan penduduk yang belum selesai mengemas dan membersihkan kawasan kediaman masing-masing sepenuhnya, kini terpaksa berdepan dengan kejadian ribut yang menerbangkan bumbung rumah.

Beliau yang juga merupakan pemangku Ketua Kampung Batu Tiga memaklumkan, setakat tengah hari tadi, sebanyak 45 buah rumah penduduk telah didaftarkan bagi proses penyaluran bantuan dan baik pulih.

“Setakat ini kita anggarkan antara 120 hingga 200 isi rumah terjejas akibat ribut yang melanda petang semalam.

“Ada tiga buah keluarga kita pindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pejabat MPKK, Dewan MBSJ Batu Tiga tetapi lebih kurang 10 buah keluarga memilih untuk menumpang di rumah jiran kerana ingin memantau keadaan rumah dan menjaga keselamatan harta benda masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq menyifatkan ribut kuat semalam sebagai kejadian terburuk yang pernah melanda kampung tersebut sehingga merosakkan puluhan buah rumah penduduk.

“Biasanya kejadian ribut ini hanya libatkan kurang dari lima buah rumah sahaja dan membabitkan kerosakan kecil namun apa yang berlaku semalam memang paling teruk kerana majoriti bumbung rumah penduduk tertanggal dan diterbangkan angin.

“Penduduk pun masih terkejut dengan kejadian tersebut namun kita yakin ini adalah ujian dan mereka pun saya lihat tabah kerana ini bukan kali pertama berdepan dengan musibah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir daripada menerima bantuan membaik pulih rumah.

“Kita sedang menyusun langkah untuk bantuan, kalau boleh kita nak cepatkan pembaikan rumah supaya penduduk boleh kembali ke kediaman mereka,” katanya. – MalaysiaGazette