Keadaan bumbung kedai makan milik Saiful Azuan Deraman yang musnah selepas diterbangkan ribut kuat di Kampung Kebun Bunga pada petang semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Belum pun reda isu banjir, penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini sekali lagi diuji dengan musibah apabila kediaman mereka rosak dibadai ribut.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.15 petang semalam, kira-kira 40 buah rumah dipercayai terjejas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kebanyakan rumah penduduk di Lorong Tok Ali dan Lorong Bunga Raya 3 mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut yang disertai hujan batu di Kampung Kebun Bunga pada petang semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

Selain itu, pokok-pokok yang tumbang di kawasan berkenaan turut menyebabkan kabel elektrik terputus.

Menurut pemilik kedai makan, Saiful Azuan Deraman, 35, ketika kejadian dia bersama beberapa orang pekerja sedang menyiapkan makanan untuk tempahan namun dikejutkan dengan ribut yang berlaku secara tiba-tiba.

Kata Saiful Azuan, dia tidak dapat melihat dengan jelas kerana angin ribut yang melalui kawasan tersebut turut menerbangkan habuk serta sampah sarap.

Saiful Azuan Deraman. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

“Masa itu saya memang tengah siapkan makanan, secara tiba-tiba ada bunyi yang sangat kuat pada bumbung zink sebelum ia diterbangkan oleh angin ke tengah jalan.

“Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana nak gambarkan keadaan ketika itu kerana ia seperti pusaran asap putih beserta hujan batu, memang sangat terkejut dan para pekerja turut panik sambil menjerit meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Keadaan kedai makan milik Saiful Azuan Deraman selepas bumbungnya diterbangkan ribut kuat petang semalam.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Saiful Azuan berkata, dia hanya sempat meminta kesemua pekerjanya untuk menyelamatkan diri dengan berlindung di rumah yang terletak bersebelahan kedainya.

Jelasnya lagi, musibah yang menimpa kali ini dianggap sebagai satu ujian yang berat buat semua penduduk selepas dilanda banjir besar pada 18 Disember lalu.

“Baru sebulan lepas kami ditimpa banjir, kali ini ribut pula berlaku di tempat kami,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk, Maznah Mohd Zin, 56, tidak menyangka hujan lebat yang berlaku petang semalam turut disusuli dengan kejadian ribut kuat sehingga menerbangkan separuh daripada bumbung rumahnya.

Maznah Mohd Zin. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

Maznah berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anak bongsu dan seorang cucu berusia lima tahun.

“Selepas banjir bulan lepas, pintu rumah kami tidak boleh ditutup rapat jadi kena halang dengan barang yang lebih berat.

“Ketika itu memang hujan lebat dan angin kuat, jadi saya bersama anak terpaksa pegang pintu daripada terus ditolak angin namun secara tiba-tiba kami terdengar bunyi yang sangat kuat.

“Rupanya bumbung rumah sudah tercabut dan air hujan mula memenuhi bahagian ruang tamu dan tiga bilik tidur,” katanya yang sudah menetap di situ sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, impak daripada ribut yang berlaku, sebahagian daripada rumahnya kini terlopong selain siling rumah dan kipas angin turut tercabut.

Kipas angin di bahagian ruang tamu rumah Maznah Mohd Zin yang tercabut selepas dilanda ribut kuat di Kampung Kebun Bunga pada petang semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

Kata Maznah lagi, dia kini buntu memikirkan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan bagi membaiki bumbung rumahnya yang rosak teruk.

“Baru sebulan lepas banjir, nak kemas banjir pun tak habis lagi (tapi) dah ditimpa macam ini memang sangat terkejut,” ujarnya.

Manakala seorang pemilik katering, Norhayati Ishak, 44, berkata, ribut kuat yang melanda kawasan tersebut dilihat seolah-olah seperti puting beliung kerana ia berwarna putih dan bergulung.

Ketika kejadian, dia bersama suami dan seorang anak berlindung di dalam lori sebelum khemah yang menempatkan pelbagai barang miliknya di kiri dan kanan stor itu runtuh.

Norhayati Ishak. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

“Saya memang nampak kepulan asap putih lalu di tepi tembok ini dan terus ke rumah jiran, ia berwarna putih dan bergulung tapi disebabkan terkelu dengan apa yang berlaku menyebabkan saya tidak sempat untuk merakam apa-apa menggunakan telefon bimbit.

“Selepas 10 minit, baru lah hujan reda sedikit dan kami terus keluar dari lori dan sangat terkejut selepas nampak banyak bumbung rumah yang hilang,” katanya.

Selain Kampung Kebun Bunga, antara kawasan yang turut dibadai ribut kuat semalam termasuk Pasaraya Giant, Seksyen 13 dan kejadian pokok tumbang berhampiran Politekik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast