CIMB Bank di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kebanyakan pelanggan CIMB Malaysia (CIMB Bank) meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan bank berkenaan yang dikatakan kerap mengalami masalah sistem.

Ia didakwa menyebabkan sebahagian pelanggan tidak dapat mengeluarkan dan memindahkan wang, akaun dibeku, malah dicaj dengan amaun yang tidak munasabah dan dikatakan mempunyai hutang.

Rata-rata mereka meluahkan rasa berang di ruangan komen dalam hantaran di media sosial Facebook, CIMB Bank.

Selain masalah yang dinyatakan, ada juga pelanggan yang mendakwa, perkhidmatan pelanggan CIMB Bank juga tidak begitu memuaskan.

Sementara itu, seorang pengguna akaun bank itu yang menghubungi MalaysiaGazette berang apabila akaun simpanannya tidak boleh digunakan sejak empat hari lalu.

Jelas wanita itu, pihak bank hanya memaklumkan transaksi akan kembali normal sama ada pada 1 atau Februari depan.

Malah apa yang mengejutkannya, dia dimaklumkan memiliki hutang tertunggak dengan bank itu.

“Pening kepala saya memikirkan hutang apa ini. Sudahlah wang tidak boleh dikeluarkan sejak empat hari lalu, kena tunggu sampai minggu depan pula.

“Bayangkan kalau gaji kita masuk di CIMB Bank dan terdesak untuk membeli keperluan asas atau bayar komitmen bulanan?, luahnya penuh berang. – MalaysiaGazette