Christopher Patit

MELAKA – Polis menahan lapan lelaki yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan ketika merasmikan pejabat sebuah pertubuhan haram di Bukit Piatu, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 40 tahun ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah 25 Januari lalu.

Menurutnya, kesemua mereka turut dikenakan kompaun RM1,000 seorang bersama 22 lagi individu lain termasuk dua wanita yang hadir pada perhimpunan itu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kesemua 30 orang mereka dipanggil ke IPD Melaka Tengah pada jam 1 pagi 25 Ogos bagi membantu siasatan selepas polis mengenal pasti satu rakaman video viral di media sosial mengenai perhimpunan terbabit.

“Susulan itu, semua mereka dikenakan kompaun RM30,000 atas kesalahan tiada penjarakan fizikal satu meter di bawah Peraturan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

“Lapan daripada mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai penarik kenderaan bagaimanapun terpaksa ditahan selepas disyaki menganggotai dan menjalankan aktiviti pertubuhan Triad, yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Christopher berkata, mana-mana individu yang didapati menjalankan upacara Triad sesebuah kumpulan kongsi gelap adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM15,000. – MalaysiaGazette