Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang pengarah penguat kuasa di sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah.

Perintah reman sehingga 3 Februari depan itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, suspek seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di satu lokasi di Cyberjaya, Selangor kira-kira 12 tengah hari, semalam.

“Dia disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada seorang individu lain dengan menggunakan orang tengah dari Julai 2019 hingga Mac 2021 bagi membantu pihak tertentu mendapatkan tender pengurusan pembersihan awam daripada syarikat pembersihan di Kedah,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan penahanan lelaki itu adalah lanjutan daripada penahanan 25 individu pada 10 dan 11 Jan lalu bagi membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank palsu syarikat untuk memasuki tender dalam sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara tanah air.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – Bernama