Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Had laju jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan 10 kilometer per jam (km/j) berkuatkuasa Selasa lalu sehingga 8 Februari depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengurangan had laju itu adalah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang bakal disambut pada 1 dan 2 Februari ini.

“Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan 10 km/j menjadikan had laju jalan persekutuan daripada 90 km/j kepada 80 km/j, manakala jalan negeri daripada 80 km/j kepada 70 km/j berkuatkuasa mulai 25 Januari hingga 8 Februari ini.

“Pewartaan pengurangan had laju sementara ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan,” katanya.

Menurut KKR, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia dalam mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan. – MalaysiaGazette