Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perhimpunan penyerahan memorandum berkaitan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki 20 Jan lepas.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perhimpunan penyerahan memorandum berkaitan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki 20 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya memberitahu Bernama, mereka adalah antara individu yang dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan itu.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes perhimpunan berkenaan di bawah Seksyen Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya seorang lagi Ahli Parlimen, yakni Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik akan hadir bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes yang sama di IPD Dang Wangi, esok.

Terdahulu, kedua-dua ahli parti Keadilan yang masing-masing ditemani oleh peguam mereka dilihat tiba di IPD Dang Wangi pada kira-kira pukul 9.40 pagi dan meninggalkan balai itu pada 10.30 pagi.

Sebelum ini media melaporkan polis menyiasat perhimpunan bagi penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan kepada Jawatankuasa Khas Agensi Kerajaan Parlimen mengenai Azam.- BERNAMA