Pemain pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bawah 23 tahun, Alif Mutalib bercakap kepada media sebelum memulakan hari pertama kem latihan pasukan bola sepak di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kontroversi yang melanda skuad kebangsaan susulan kegagalan di Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020 baru-baru ini juga terkena tempias buat barisan pemain muda negara.

Apatah lagi, siri kejohanan yang bakal diharungi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan musim ini antaranya Kejuaraan B-23 AFF dan Piala Asia B-23 membuatkan anak buah Brad Maloney sebagai ‘mangsa’ kritikan netizen.

Bagi penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Muhamad Alif Abdul Mutalib, dia menyifatkan segala bentuk kritikan keterlaluan tidak memberi kesan kepada pemain dan pasukan.

Sebaliknya, pemain perlu membuktikan keputusan terbaik untuk memuaskan hati peminat bola sepak.

“Saya melihat dari sudut positif. Bagi kami hanya buat yang terbaik di padang, selebihnya apa penyokong nak cakap terpulang kepada mereka.

“Saya juga mengharapkan sokongan positif daripada penyokong dan mengakui kepentingan mereka dalam membantu pasukan meraih kejayaan,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Alif ditemui pada hari pertama kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam.

Pemain pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bawah 23 tahun, Azfar Fikri bercakap kepada media sebelum memulakan hari pertama kem latihan pasukan bola sepak di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JANUARI 2022.

Penyerang Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pula mengakui sebagai pemain yang menyarung jersi pasukan negara, beliau sedikit terkesan dengan segala reaksi negatif dan kecaman melampau dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu tetap menghormati hak penyokong untuk memberikan pandangan sambil menegaskan jika skuad kebangsaan tidak ingin dikecam, mereka perlu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

“Berdasarkan apa yang saya nampak, saya ambil yang positif saja. Biarlah mereka (penyokong) nak kecam apa pun, tugas kita senang, hanya satu iaitu balas dengan kemenangan. Kalau kita bagi kemenangan dan muncul juara, tiada lagi kecaman,” katanya.

“Tidak semua orang faham bola sepak, di dalam dan luar padang lain. Mereka boleh cakap macam-macam tapi di padang, pemain sahaja tahu macam mana tekanannya. Saya harap semua terus menyokong pasukan negara. Kami pemain mengharapkan penyokong sentiasa bagi semangat,” katanya.

Azfar dan kini berada dalam kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini. – MalaysiaGazette

Aksi pemain Skuad Bawah-23 Tahun Kebangsaan sewaktu menjalani hari pertama kem latihan di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JANUARI 2022.