Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disaran supaya mendekati pengundi di negeri itu dengan menggunakan saluran media sosial semasa berkempen.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu perlu diambil ekoran trend masyarakat hari ini yang cenderung menggunakan medium seperti itu.

“Kita melihat pengundi khususnya golongan muda cenderung untuk menggunakan Facebook dan TikTok berbanding medium lain.

“Justeru, kita akan memberikan tumpuan kempen ke arah itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

PRN Johor diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kedudukan kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad yang hanya memiliki kelebihan satu kerusi dengan blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan menguasai 27 kerusi daripada 56 DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN tersebut seperti hari penamaan calon dan hari pengundian. – MalaysiaGazette