KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun ini diberi kepercayaan menjadi penyiar rasmi untuk temasya sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 20 Februari ini.

Liputan siaran langsung akan bermula dengan upacara perasmian yang bersiaran secara langsung pada 4 Februari ini di saluran TV2, dan saluran Sukan RTM, 111 Myfreeview pada pukul 7.55 malam.

Seterusnya penonton dapat mengikuti Laporan Harian Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang disiarkan tiga sesi setiap hari menerusi saluran Sukan RTM bermula pukul 9 pagi hingga 12 00 tengah hari, pukul 2 hingga 5 petang dan pukul 8 hingga 10
malam.

Manakala, rangkuman harian Olimpik Musim Sejuk akan bersiaran pada pukul 8 pagi dan 11 malam.

Pengulas-pengulas terbaik RTM yang diamanahkan untuk memberi ulasan sepanjang temasya Olimpik Musim Sejuk Beijing berlangsung ialah Rasdi Jumaat, Syafiq Asyraf dan Dr. Harmi Taazim.

Sementara itu pada siaran kali ini turut melibatkan pengacara berpengalaman RTM iaitu Nazrie Fahmi, Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Zackhi Ahmad Suri.

Antara yang paling dinantikan adalah acara Alpine Skiing dimana Malaysia turut menghantar penyertaan dua orang atlet, iaitu Jeffrey Webb, 23, yang akan bertanding dalam kategori slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, bagi kategori slalom dan giant slalom wanita.

Kali terakhir RTM menyiarkan temasya ini ialah pada tahun 2018, iaitu di Pyeong Chang Korea Selatan. – MalaysiaGazette