Idris Ahmad melihat katil tilt elektronik yang diserahkan kepada Hospital Queen Elizabeth II , Kota Kinabalu Sabah.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang sejumlah 81 unit katil ‘tilt elektronik’ bernilai RM1.8 juta bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital terpilih yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, sumbangan TH ini adalah salah satu daripada program zakat TH melalui Program Afi’at khusus untuk meringankan tanggungan hospital-hospital seluruh Malaysia dalam usaha merawat para pesakit terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan asnaf yang
memerlukan.

”Walaupun kita sudah beralih ke Fasa Pemulihan, saya percaya pihak KKM masih lagi memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada badan-badan korporat keluarga Malaysia.

”Justeru TH sebagai agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil inisiatif langsung dengan memberi sumbangan zakat menerusi program A’fiat TH pada hari ini pastinya sedikit sebanyak membantu kelancaran dan rawatan pesakit di hospital-hospital,” kata semasa Majlis Serahan Sumbangan Program A’fiat TH di Dewan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu Sabah.

Katil ICU tersebut telah dibahagikan dan diberikan kepada hospital hospital terpilih kerajaan mengikut negeri seperti Selangor (15), Kuala Lumpur (10), Kelantan (14), Kedah (14), Terengganu (3), Perak (5), Negeri Sembilan (3), Melaka (3), Sabah (4), Johor (2), Pahang (2), Pulau Pinang (2), Sarawak (2) dan Perlis (2).

Sejak Program Afi’at TH ini diperkenalkan pada tahun 2012, mesin dan peralatan perubatan bernilai hampir RM6 juta telah disumbangkan kepada hospital-hospital KKM di seluruh negara.

Sumbangan ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima secara tidak langsung, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia, tambah beliau.

Pengarah TH Wilayah Negeri Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said serta Yusdi Nasip, Pengarah TH Negeri Sabah juga turut hadir mewakili pihak pengurusan TH.

Pada tahun 2020, TH menyumbang 57 buah mesin hemodialisis berjumlah hampir RM2 juta kepada 42 buah hospital kerajaan dalam usaha menangani wabak Covid-19. – MalaysiaGazette