Annuar (kanan) bersama Hasni ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat yang diadakan di Hotel Thistle Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selari dengan aspirasi rakyat negeri itu yang mahu kestabilan dalam pemerintahan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, aspirasi itu dapat dilihat melalui kajian dan analisis  yang dilakukan kerajaan menerusi pelbagai platform atas talian.

Untuk itu katanya, beliau mahu rakyat Johor menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan negeri baharu dalam PRN Johor kelak.

“Sebenarnya kita sekarang sudah guna teknologi, berdasarkan analisis sentimen harian yang kita buat memang rakyat mahu kerajaan berbuat sesuatu yang selari dengan kehendak dan aspirasi mereka.

“Di Johor, apa yang Menteri Besar lakukan selari dengan aspirasi rakyat, jadi saya harap mereka akan sempurnakan hak dalam proses pilihan raya dan beri mandat baharu kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat yang diadakan di Hotel Thistle malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Annuar berkata, walaupun tidak boleh mendedahkan kaedah analisis sentimen yang dijalankan namun perkara itu bukan rahsia di mana kementeriannya sentiasa menjalankan pemantauan dalam pelbagai platform media sosial.

“Saya sememangnya tidak boleh memberitahu secara terperinci. Ini bukan rahsia, ada kaedah untuk kita baca sentimen dan walaupun netizen kata macam-macam terhadap kerajaan, kita tetap perlu ambil pandangan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh yakin dengan kepimpinan Hasni untuk menerajui kerajaan Johor dengan mandat yang bakal diberikan rakyat nanti.

“Berdasarkan pengalaman saya, Johor adalah sebuah negeri yang kita tidak boleh nafikan pertumbuhan ekonomi termasuklah peluang pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan prestasi, katanya, Hasni berjaya membuktikan bahawa kerajaan yang diterajuinya diterima baik oleh rakyat termasuklah pihak Istana Johor.- MalaysiaGazette