KUANTAN – Seramai 4,227 penduduk terjejas banjir seluruh negara membuat permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia dengan nilai tuntutan hampir RM5.27 juta.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, jumlah permohonan itu adalah daripada 66,000 mangsa banjir yang didaftarkan dan jumlah permohonan yang diterima itu disifatkan masih rendah daripada sasaran ditetapkan.
“Permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia dilancarkan pada 18 Januari lalu dan permohonan masih dibuka sehingga 31 Mac 2022.
“Bantuan automotif juga disediakan dalam membantu mangsa banjir yang kenderaan mereka rosak teruk dan jika tidak dibaiki, ia mengganggu urusan harian mereka mencari rezeki,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Program Bank Simpanan Nasional (BSN) Komuniti Mikro dan Kemudahan Perbankan di Sungai Lembing, hari ini.
Shahar berkata, kerajaan turut melonggarkan syarat tuntutan dengan membenarkan pemohon membaiki kenderaan di bengkel bukan panel.
“Mereka diingatkan menyimpan resit membaik pulih kenderaan dan membuat tuntutan menggunakan borang disediakan untuk menebus baucar tuntutan.
“Selain itu, mereka tidak perlu mengemukakan laporan polis bagi tujuan tuntutan,” ujarnya. – MalaysiaGazette