KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah pusat karoake eksklusif dan menahan enam wanita warga Korea Selatan yang disyaki menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di Solaris Mont Kiara di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, menerusi serbuan tersebut pihaknya turut menahan dua lelaki warga Korea Selatan dan seorang lelaki warga Pakistan.

Menurut beliau, aktiviti tidak bermoral itu menggunakan modus operandi menawarkan GRO berusia lingkungan 24 hingga 46 tahun sebagai pelayan istimewa dari bilik ke bilik.

“Bayaran yang diperolehi lumayan iaitu sebanyak RM500 bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan, selain menerima tip daripada pelanggan, manakala harga bayaran sebuah bilik pula mencecah sehingga RM2,000.

“Ketika serbuan dilakukan, GRO terbabit hanya tergamam dan sebarang tindakan untuk melarikan diri tidak berjaya kerana lokasi sasaran telah dikepung awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Syamsul, seramai 35 pegawai Imigresen Kuala Lumpur terlibat dalam serbuan berkenaan.

Sementara itu, dalam serbuan di lokasi berbeza, beliau berkata, seramai 23 individu diperiksa dengan tujuh daripadanya ditahan membabitkan enam wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam di tiga premis pusat urut dan refleksologi Pandan Indah.

“Bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, pelanggan perlu membayar sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah penyalah gunaan pas atau permit, tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan susulan.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, JIM sentiasa prihatin terhadap aduan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta tidak akan berkompromi terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram dan menyalahgunakan pas.

“JIM juga memandang serius isu kemaksiatan dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan akan terus mempergiat operasi secara besar-besaran,” katanya. – MalaysiaGazette